APAKAH ITU INHALAN?

APAKAH ITU INHALAN?

Inhalan (Inhalansia) adalah bahan kimia yang mengandungi bahan psikoaktif yang dihasilkan daripada pelarut organik dan bahan meruap yang boleh dijumpai dalam lebih 1000 produk rumah seperti aerosol, pelekat, deodoran, penyembur rambut, minyak wangi, penyegar udara, gasolincecair pemetik api dan cat.
Inhalan boleh dihidu secara terus daripada bekas terbuka, atau menggunakan kain yang direndam ke dalam bahan kimia tersebut dan meletakkannya berhampiran muka. Selain itu, bekas terbuka atau kain lembab itu boleh diletakkan dalam beg plastik dan sebelum dihidu.
Inhalan dikatakan boleh menyebabkan kematian sel otak. Disebabkan sel otak yang baru tidak lagi terbentuk selepas kelahiran, ini bererti penagih inhalan yang tegar akan berhadapan dengan risiko kecacatan akal. Kadangkala inhalan ini turut digunakan oleh penagih dadah yang tiada duit. Inhalan boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu;

1. Pelarut Mudah Meruap 
Merupakan cecair yang akan meruap  pada suhu bilik. Pelarut ini didapati dalam kebanyakan produk-produk yang biasa digunakan di rumah atau untuk tujuan penggunaan perubatan dan industri. Produk-produk tersebut termasuklah cat dan penipis/pelarut cat, bahan pelindung fabrik, penanggal gris, bahan pengilat, minyak gas, minyak petrol, gam dan pelekat, cecair pemadam dan dakwat pen. 

2. Bahan gas 


Merupakan bahan yang banyak digunakan dalam perubatan seperti eter, klorofom, haloten dan nitrous oksida. Produk kegunaan di rumah yang mengandungi gas termasuklah pemetik api yang berisikan gas butana, tong gas propana dan gas peti sejuk iaitu freon. Penyembur aerosol pula biasanya mengandungi kedua-dua bahan pelarut dan gas. Antara penyembur aerosol yang mudah didapati di rumah adalah cat penyembur, semburan pewangi, penyembur rambut dan penyembur pelindung fabrik.


3.  Bahan Nitrit 

Merupan sejenis  bahan sedutan yang sering digunakan  sebagai pemangkin seks dan mudah diperolehi di kelab-kelab malam. Antara bahan nitrit yang biasa digunakan adalah sikloheksil nitrit, amil nitrit dan butil nitrit yang terdapat dalam sebahagian jenama penyegar udara. Nama lain yang biasa dikenali oleh penagih ialah Climax, Rush, Locker Room dan Popper. Inhalan berbentuk bahan mudah meruap dan bahan gas lebih digemari oleh golongan awal remaja, walau pun terdapat juga golongan dewasa yang menggunakannya. Orang dewasa biasanya terdedah kepada bahan sedutan melalui pekerjaan mereka, manakala golongan remaja yang lebih berumur biasanya memperolehi dan terdedah kepada bahan nitrit di kelab-kelab malam.

Inhalan seringkali dipilih oleh penagih kerana ianya mudah didapati, harganya pun murah, serta penggunaannya mudah  disembunyikan atau dielakkan dari pengetahuan orang lain. Selain itu, bahan ini berupaya memberikan kesan-kesan yang diingini penagih seperti rasa tenteram dan selesa yang berlebih-lebihan yang dipercayai dapat mengurangkan tekanan hidup penagih, serta boleh menimbulkan perasaan khayal yang cepat dan berulang kali. Golongan remaja yang menagih juga akan lebih mudah diterima kumpulan rakan sebaya yang terlibat dalam aktiviti yang serupa.