ARTIKEL : PEMANDU MABUK KINI BERLELUASA DI BANDAR

 Kes kemalangan disumbangkan pemandu mabuk berlaku di bandar besar seluruh negara



MIRI: Kebanyakan kes kemalangan yang disumbangkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh alkohol berlaku di beberapa bandar besar di seluruh negara.

Aziz (dua kiri) menyerahkan salah satu unit EBA-II kepada pegawai trafik daripada IPD Sri Aman sambil disaksikan pegawai kanan polis trafik yang lain.


Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Abdul Aziz Yusof  berkata beliau tidak menolak kemungkinan ini berlaku disebabkan pengaruh faktor sekeliling.

“Berdasarkan statistik yang direkodkan, kebanyakan kes kemalangan yang disumbangkan atau membabitkan pemandu mabuk serta memandu di bawah pengaruh alkohol berlaku di beberapa bandar besar di seluruh negara,” ujar beliau tanpa menyatakan jumlah sebenar dan kawasan mana yang merekod kes tertinggi membabitkan pemandu mabuk.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Peralatan Evidential Breath Analyser (EBA-II) dan S-D2 Siri 5/2011 yang berlangsung di Pejabat Polis Trafik Miri di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Trafik Sarawak Pemangku Superintenden Mohd Najid Jusoh, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Ismail Idris dan Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Miri Asisten Superintenden Polis (ASP) Zamry Allie.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan tiga unit EBA-II kepada pasukan trafik Sarawak dengan setiap satunya diagihkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, IPD Limbang dan IPD Sarikei.

“Saya percaya dengan adanya tambahan tiga unit baru EBA-II, para anggota trafik di negeri ini akan dapat memperkasakan lagi kualiti perkhidmatan masing-masing khususnya dalam menguatkuasakan undang-undang jalan raya,” katanya.

Ini penting ujarnya memandangkan pemandu mabuk bukan hanya membahayakan diri sendiri malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain, justeru tindakan tegas harus dikenakan terhadap pelaku.

Buat masa sekarang menurut Aziz, Sarawak telah dibekalkan tujuh unit peralatan tersebut termasuk tiga unit baru yang diserahkan semalam.

“Setakat ini, penggunaan EBA-II di Sarawak amat berkesan dengan 146 kes membabitkan pemandu mabuk atau memandu di bawah pengaruh alkohol berjaya direkodkan sepanjang tempoh tahun lalu,” katanya sambil menambah paras alkohol yang dibenarkan adalah 80 mililiter (ml) alkohol dalam 100 ml darah.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 115 kes telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru katanya, adalah sewajarnya bagi para anggota trafik mempratikkan segala pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi sepanjang kursus secara optimum untuk memastikan objektif yang disasarkan dapat dicapai sepenuhnya.

Selain itu tegas Aziz, adalah menjadi peranan dan tanggungjawab para pegawai dan anggota trafik untuk menggunakan peralatan ini dengan cara yang betul supaya tidak akan dipertikaikan apabila kes-kes dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, seramai 35 peserta yang terdiri daripada lapan pegawai dan 27 anggota pelbagai pangkat telah menghadiri kursus empat hari itu yang bermula 4 Oktober lalu dan berakhir semalam.

Image result for KEMALANGAN JALAN RAYAImage result for KEMALANGAN JALAN RAYA
gambar hiasan : kemalangan jalan raya


 via. PEMANDU MABUK KINI ERLELUASA DI BANDAR