Wap bahan ini biasanya dihidu melalui hidung atau disedut melalui mulut. Selain bahan inhalan yang tersenarai, penagih juga berkemungkinan menggunakan bahan lain bersama seperti arak, dan ini akan meningkatkan risiko terjadinya kesan yang lebih teruk. Hampir semua inhalan (kecuali bahan nitrit) yang disalahgunakan bertindak di otak dengan menekan fungsi sistem saraf pusat dan menghasilkan kesan yang seakan sama dengan kesan pengambilan arak (alkohol), ubat tidur dan agen bius. Terdapat satu kajian terbaru yang menunjukkan toluin iaitu sejenis pelarut yang didapati dalam gam, cat semburan, dan penanggal cat, boleh mengaktifkan sistem dopamina dalam otak sama seperti tindakan yang dihasilkan oleh dadah-dadah yang sudah lama dikenali seperti heroin, candu, dan lain-lain lagi.
Bahan nitrit pula sebaliknya tidak bertindak terus ke atas sistem saraf pusat seperti kebanyakan inhalan yang lain, akan tetapi bahan ini secara asasnya bertindak membesarkan saluran darah dan merehatkan otot.